Wednesday, May 20, 2009

MANA MUNGKIN MENDAPAT HIDAYAH



Sebagaimana yang kita sedia maklum, Silat Cekak yang diamanahkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi kepada anak-anak muridnya semasa hayatnya telah berpecah kepada tiga gulungan sekarang.

Ujian demi ujian diberikan oleh Allah swt kepada anak-anak murid Ustaz Hanafi di zaman selepas beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986.

Di zaman Ustaz Hanafi, ujian-ujian besar datang dari luar pergerakan Silat Cekak. Ustaz Hanafi bersama-sama dengan anak-anak muridnya yang setia kepada perjuangan beliau tetap bersatu sehingga Silat Cekak berada di persada seni beladiri di negara kita. Silat Cekak berada sama tinggi dengan mana-mana seni beladiri antarabangsa. Itu di zaman Ustaz Hanafi.

Selepas Ustaz Hanafi kembali ke rahmatullah, apakah pergerakan Silat Cekak berada di persada seni beladiri lagi?

Sejarah telah merakamkan kecemerlangan Silat Cekak di zaman pasca Ustaz Hanafi hanya bertahan sehingga tujuh tahun sahaja (1986-1993). Perpecahan dalaman yang melibatkan Ishak Itam sebagai guru utama telah merakamkan sejarah pahit bagi pergerakan Silat Cekak. Lihatlah betapa lemahnya persatuan itu pada hari ini. Ia tidak sehebat mana berbanding dengan zaman Ustaz Hanafi.

Begitu juga dengan pergerakan Silat Cekak Hanafi. Ia lahir sebagai gulungan "minoriti" semasa krisis kepimpinan pada tahun 1993. Namun ia mampu membawa perjuangan Ustaz Hanafi ke tahap yang lebih tinggi. Kejayaan demi kejayaan ditempahnya sehingga berjaya meletakkan Silat Cekak Hanafi dipersada seni beladiri melayu di negara kita sehinggalah ke kemuncaknya pada tahun 2005.

Perjuangan mesti diuji dan itulah yang terjadi. Pada bulan Mac 2006, Md Radzi Hanafi selaku guru utama telah menconteng arang kepada pergerakan Silat Cekak Hanafi.

Sekali lagi pergerakan Silat Cekak diuji dari dalam.

Kedua-dua ujian besar yang berlaku di zaman pasca Ustaz Hanafi adalah angkara guru utama sebagai pemimpin nombor satu pergerakan.

Perlukah perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak diteruskan lagi? Siapakah yang mempusakai perjuangan Ustaz Hanafi? Siapakah yang mewarisi perjuangan Ustaz Hanafi?

Jawapannya terletak di lambang persilatan Silat Cekak. Oleh kerana lambang inilah maka ahli-ahli Silat Cekak akan tetap diuji. Silat Cekak bukan silat biasa. Ia silat luar biasa kerana perjuangan sebenarnya terletak dilambang tersebut. Bukan mudah untuk memahaminya sekiranya tidak diberikan hidayah oleh Allah swt. Ia tertera dalam pantun Silat Cekak.

"Silat Cekak tersangatlah mudah"
"Bagi mereka yang mendapat hidayah"

Mana mungkin diberikan hidayah sekiranya diri bersifat bohong dan sombong takabur.

Atas dasar inilah para pendukung setia Silat Cekak mengutarakan pletfom perjuangan yang lebih komprehensif. Perancangan strategik sehingga tahun 2015 memfokuskan kepada pembinaan insan yang berbudaya. Tujuh sifat utama dan tujuh bidang kemahiran yang diperlukan adalah bertujuan untuk menjana insan yang berbudaya.

Anggaplah proses yang sedang berlaku di dalam Silat Cekak Hanafi ini sebagai satu proses penanaman semula (replanting) untuk melahirkan benih-benih ahli yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi sehingga ke akhir zaman.

Kitalah yang mewarisi perjuangannya.

Kitalah yang mempusakai perjuangannya."

No comments:

Post a Comment