
Sepertimana yang kita sedia maklum ketokohan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi individu-individu yang terlibat secara langsung dalam Silat Cekak. Baik di zamannya mahupun di zaman pascanya, kita dapat melihat ketokohan dan kehebatannya diperkatakan oleh rakan dan lawan.
Ketika ini, kita dapat saksikan di mana-mana laman web yang berkaitrapat dengan Silat Cekak, pastinya akan ada gambar Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad. Apakah gambarnya dipergunakan untuk kepentingan masing-masing? Apakah mesejnya? Tentunya masing-masing pihak akan mendakwa merekalah yang membawa perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad yang sebenarnya.
Sejarah telah merakamkan bukan semua ahli-ahli Silat Cekak di zaman Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad memahami dan menghayati perjuangannya. Ada yang faham dan ada yang tidak. Ada juga yang samar-samar.
Sejarah juga telah merakamkan penglibatan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak tidak disenangi ibunya, juga adik beradik dan saudara mara beliau. Malah Pak Hj Zain, gurunya pun tidak setuju dengan perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak.
Maka tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa hanya anak-anak murid beliau yang paling setia sahajalah yang memahami dan menghayati perjuangan Ustaz Hanafi ini. Merekalah yang bersama-sama dengan Ustaz Hanafi di barisan hadapan di zaman beliau.
Sepertimana yang pernah diulaskan dalam artikel-artikel terdahulu, setiap perjuangan mesti diuji. Di zaman Ustaz Hanafi, perjuangannya di uji dari luar dan di zaman pascanya perjuangan diuji dari dalam.Yang sangat memeritkan adalah ujian-ujian ini berkisar kepada perilaku mantan-mantan guru utama yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah berat yang ditinggalkan Allahyarham Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak.
Namun realitinya, mantan-mantan guru utama ini masih lagi berselindung di sebalik imej Allahyarham Ustaz Hanafi sedangkan sebenarnya mereka tidak lagi membawa pembawaan dan perjuangan Ustaz Hanafi yang sebenar.
Lantaran gambar dan imej Allahyarham Ustaz Hanafi digunakan untuk mengabui aktiviti mereka. Imej dan gambar Allahyarham Ustaz Hanafi digunakan untuk mengelirukan pandangan masyarakat umum. Silat mungkin serupa tetapi isinya tidak sama.
Di zaman Yahya Said, rupabentuk Silat Cekak adalah sama tetapi isinya berbeza.
Dan jasa besar Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad adalah memasukkan isi didalam Silat Cekak dalam bentuk pengetahuan dan kefahaman tauhid.
Inilah jasa besar Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak. Itu sebab di zamannya, Silat Cekak diberkati oleh Allah swt. Namanya sangat harum, seharum kasturi. Silat Cekak berada di persada seni beladiri di negara kita. Silat Cekak disegani lawan dan kawan.
Selepas pemergian Ustaz Hanafi pulang ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986, nama harum Silat Cekak telah dicemari akibat perbuatan mantan-mantan guru utamanya.
Sebagai rumusan, jasa besar Allahyarham Ustaz Hanafi adalah jasa beliau memasukkan pengisian ilmu tauhid yang sebenar dalam Silat Cekak sehingga Silat Cekak mendapat keberkatan daripada Allah swt.
Maka mana-mana individu atau badan yang mendakwa mereka mengenang jasa
Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, mereka mestilah membuktikan bahawa perjuangan dan aktiviti-aktiviti mereka berpaksikan ilmu dan kefahaman tauhid yang tinggi bukan berselindung di sebalik gambar dan imej Allahyarham Ustaz Hanafi.
Sayugia, Allah swt Maha Melihat dan Maha Mendengar.
Al-Fatihah
"
No comments:
Post a Comment