Wednesday, May 20, 2009

Antara Suara Benar dan Suara Ramai



Pekeliling Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) bertarikh 24 April 2009 mengenai pembubaran sepuluh cawangan yang mengingkari arahan MMK adalah satu tindakan yang wajar, berani dan bertanggungjawab dalam usaha menegakkan kebenaran dan menentang perbuatan yang mungkar.

Mengikut Akta Pertubuhan 1966, dengan pembubaran ini, cawangan-cawangan tersebut tidak lagi wujud dan tidak boleh menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan khususnya kelas-kelas latihan Silat Cekak Hanafi. Dari segi undang-undang, ahli-ahli di cawangan-cawangan ini telah hilang kelayakan sebagai ahli, baik bagi mereka yang membayar yuran setiap tahun mahupun yang membayar yuran ahli seumur hidup.

Melanggari arahan pembubaran ini boleh mengundang tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis kerana aktiviti-aktiviti tidak boleh lagi dijalankan kerana tidak sah dari segi undang-undang. Ia menjadi satu kegiatan yang haram kerana tidak dijalankan oleh sebuah persatuan yang berdaftar. Mengikut Akta Polis. perbuatan ini menjadi satu perbuatan jenayah jika ia diteruskan kerana berhimpun melebihi empat orang.

Dengan tindakan ini, berakhirlah satu episod yang pahit dalam perjuangan Silat Cekak Hanafi. Bagi ahli-ahli Silat Cekak Hanafi,
teruskanlah usaha untuk menabur bakti kepada masyarakat kerana kegiatan silat dan ilmu silat adalah sesuatu yang baik dan berfaedah untuk diri, keluarga dan masyarakat. Usah menoleh ke belakang lagi.

InsyaAllah usaha ini akan mendapat keberkatan selagi kita berada dijalan yang lurus lagi benar.

Episod ini banyak meninggalkan banyak pengajaran kepada kita sebagai ahli Silat Cekak Hanafi.

Yang pertama, kita harus meletakkan kepentingan pergerakan dan persatuan melebihi kepentingan mana-mana individu walaupun individu itu adalah presiden mahupun guru utama. Episod ini adalah kali kedua berlaku dalam sejarah dan perjuangan Silat Cekak Hanafi sejak Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, pemimpin agung kita kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986.

Yang kedua, kita melihat sekali lagi lahirnya ahli-ahli yang taksub kepada pemimpin (presiden/guru utama). Ia berlaku akibat perbuatan sipemimpin dan konco-konconya yang mahu menutup kesalahan diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Perbuatan ini telah memecahbelahkan persatuan sehingga menggugat perjuangan Silat Cekak Hanafi yang sebenar.

Yang ketiga, sebagai ahli kepada persatuan, kita harus mengetahui dan menjunjung perlembagaan persatuan dan mematuhi undang-undang tubuh persatuan kita. Kita tidak boleh melanggarnya. Kita harus mentadbir persatuan mengikut undang-undang tubuh tersebut. Perbuatan menipu ahli-ahli dari aspek perlembagaan persatuan adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Setiap peraturan dalam perlembagaan persatuan perlu diikuti sewaktu mentadbir persatuan. Kita tidak boleh mentadbir persatuan mengikut selera sendiri serta cara-cara yang melanggari peraturan-peraturan tersebut.

Yang keempat, sebagai ahli, kita harus mempertahankan persatuan dan perjuangan Silat Cekak Hanafi. Sebagai penjawat jawatan dalam persatuan dan sebagai tenaga pengajar, kita perlu memberikan maklumat-maklumat yang benar kepada ahli-ahli. Ini satu tanggungjawab yang besar terhadap kita sebagai pemimpin. Dalam episod yang berlaku ini, banyak maklumat tidak sampai ke pengetahuan ahli-ahli di seluruh negara sehingga ramai yang tertipu akibat perbuatan si pemimpin dan konco-konconya. Perbuatan inilah yang menyebabkan sepuluh cawangan tersebut mengingkari arahan-arahan MMK sejak bermulanya episod ini pada bulan Mac 2006.

Akhirnya dengan langkah-langkah yang tersusun mengikut perlembagaan dan beristiqamah terhadap segala ujian yang diberikan kepada perjuangan Silat Cekak Hanafi, akhirnya suara kebenaran ini telah berjaya mengatasi suara ramai yang mungkar.

Suara ramai tidak semestinya suara benar.

Yang benar tetap yang hak dan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah swt. sepertimana yang dijanjikan. Sesungguhnya Allah swt tidak pernah memungkiri janji.

Alhamdullilahirabbi’alamin.



www.cekakhanafi.com

No comments:

Post a Comment