Wednesday, May 20, 2009

NAMA HARUM MU DICEMARI MANTAN MANTAN GURU UTAMA



Sepertimana yang kita sedia maklum ketokohan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi individu-individu yang terlibat secara langsung dalam Silat Cekak. Baik di zamannya mahupun di zaman pascanya, kita dapat melihat ketokohan dan kehebatannya diperkatakan oleh rakan dan lawan.

Ketika ini, kita dapat saksikan di mana-mana laman web yang berkaitrapat dengan Silat Cekak, pastinya akan ada gambar Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad. Apakah gambarnya dipergunakan untuk kepentingan masing-masing? Apakah mesejnya? Tentunya masing-masing pihak akan mendakwa merekalah yang membawa perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad yang sebenarnya.

Sejarah telah merakamkan bukan semua ahli-ahli Silat Cekak di zaman Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad memahami dan menghayati perjuangannya. Ada yang faham dan ada yang tidak. Ada juga yang samar-samar.

Sejarah juga telah merakamkan penglibatan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak tidak disenangi ibunya, juga adik beradik dan saudara mara beliau. Malah Pak Hj Zain, gurunya pun tidak setuju dengan perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak.

Maka tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa hanya anak-anak murid beliau yang paling setia sahajalah yang memahami dan menghayati perjuangan Ustaz Hanafi ini. Merekalah yang bersama-sama dengan Ustaz Hanafi di barisan hadapan di zaman beliau.

Sepertimana yang pernah diulaskan dalam artikel-artikel terdahulu, setiap perjuangan mesti diuji. Di zaman Ustaz Hanafi, perjuangannya di uji dari luar dan di zaman pascanya perjuangan diuji dari dalam.Yang sangat memeritkan adalah ujian-ujian ini berkisar kepada perilaku mantan-mantan guru utama yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah berat yang ditinggalkan Allahyarham Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak.

Namun realitinya, mantan-mantan guru utama ini masih lagi berselindung di sebalik imej Allahyarham Ustaz Hanafi sedangkan sebenarnya mereka tidak lagi membawa pembawaan dan perjuangan Ustaz Hanafi yang sebenar.

Lantaran gambar dan imej Allahyarham Ustaz Hanafi digunakan untuk mengabui aktiviti mereka. Imej dan gambar Allahyarham Ustaz Hanafi digunakan untuk mengelirukan pandangan masyarakat umum. Silat mungkin serupa tetapi isinya tidak sama.

Di zaman Yahya Said, rupabentuk Silat Cekak adalah sama tetapi isinya berbeza.

Dan jasa besar Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad adalah memasukkan isi didalam Silat Cekak dalam bentuk pengetahuan dan kefahaman tauhid.

Inilah jasa besar Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak. Itu sebab di zamannya, Silat Cekak diberkati oleh Allah swt. Namanya sangat harum, seharum kasturi. Silat Cekak berada di persada seni beladiri di negara kita. Silat Cekak disegani lawan dan kawan.

Selepas pemergian Ustaz Hanafi pulang ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986, nama harum Silat Cekak telah dicemari akibat perbuatan mantan-mantan guru utamanya.

Sebagai rumusan, jasa besar Allahyarham Ustaz Hanafi adalah jasa beliau memasukkan pengisian ilmu tauhid yang sebenar dalam Silat Cekak sehingga Silat Cekak mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Maka mana-mana individu atau badan yang mendakwa mereka mengenang jasa
Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, mereka mestilah membuktikan bahawa perjuangan dan aktiviti-aktiviti mereka berpaksikan ilmu dan kefahaman tauhid yang tinggi bukan berselindung di sebalik gambar dan imej Allahyarham Ustaz Hanafi.

Sayugia, Allah swt Maha Melihat dan Maha Mendengar.


Al-Fatihah
"

MANA MUNGKIN MENDAPAT HIDAYAH



Sebagaimana yang kita sedia maklum, Silat Cekak yang diamanahkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi kepada anak-anak muridnya semasa hayatnya telah berpecah kepada tiga gulungan sekarang.

Ujian demi ujian diberikan oleh Allah swt kepada anak-anak murid Ustaz Hanafi di zaman selepas beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986.

Di zaman Ustaz Hanafi, ujian-ujian besar datang dari luar pergerakan Silat Cekak. Ustaz Hanafi bersama-sama dengan anak-anak muridnya yang setia kepada perjuangan beliau tetap bersatu sehingga Silat Cekak berada di persada seni beladiri di negara kita. Silat Cekak berada sama tinggi dengan mana-mana seni beladiri antarabangsa. Itu di zaman Ustaz Hanafi.

Selepas Ustaz Hanafi kembali ke rahmatullah, apakah pergerakan Silat Cekak berada di persada seni beladiri lagi?

Sejarah telah merakamkan kecemerlangan Silat Cekak di zaman pasca Ustaz Hanafi hanya bertahan sehingga tujuh tahun sahaja (1986-1993). Perpecahan dalaman yang melibatkan Ishak Itam sebagai guru utama telah merakamkan sejarah pahit bagi pergerakan Silat Cekak. Lihatlah betapa lemahnya persatuan itu pada hari ini. Ia tidak sehebat mana berbanding dengan zaman Ustaz Hanafi.

Begitu juga dengan pergerakan Silat Cekak Hanafi. Ia lahir sebagai gulungan "minoriti" semasa krisis kepimpinan pada tahun 1993. Namun ia mampu membawa perjuangan Ustaz Hanafi ke tahap yang lebih tinggi. Kejayaan demi kejayaan ditempahnya sehingga berjaya meletakkan Silat Cekak Hanafi dipersada seni beladiri melayu di negara kita sehinggalah ke kemuncaknya pada tahun 2005.

Perjuangan mesti diuji dan itulah yang terjadi. Pada bulan Mac 2006, Md Radzi Hanafi selaku guru utama telah menconteng arang kepada pergerakan Silat Cekak Hanafi.

Sekali lagi pergerakan Silat Cekak diuji dari dalam.

Kedua-dua ujian besar yang berlaku di zaman pasca Ustaz Hanafi adalah angkara guru utama sebagai pemimpin nombor satu pergerakan.

Perlukah perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak diteruskan lagi? Siapakah yang mempusakai perjuangan Ustaz Hanafi? Siapakah yang mewarisi perjuangan Ustaz Hanafi?

Jawapannya terletak di lambang persilatan Silat Cekak. Oleh kerana lambang inilah maka ahli-ahli Silat Cekak akan tetap diuji. Silat Cekak bukan silat biasa. Ia silat luar biasa kerana perjuangan sebenarnya terletak dilambang tersebut. Bukan mudah untuk memahaminya sekiranya tidak diberikan hidayah oleh Allah swt. Ia tertera dalam pantun Silat Cekak.

"Silat Cekak tersangatlah mudah"
"Bagi mereka yang mendapat hidayah"

Mana mungkin diberikan hidayah sekiranya diri bersifat bohong dan sombong takabur.

Atas dasar inilah para pendukung setia Silat Cekak mengutarakan pletfom perjuangan yang lebih komprehensif. Perancangan strategik sehingga tahun 2015 memfokuskan kepada pembinaan insan yang berbudaya. Tujuh sifat utama dan tujuh bidang kemahiran yang diperlukan adalah bertujuan untuk menjana insan yang berbudaya.

Anggaplah proses yang sedang berlaku di dalam Silat Cekak Hanafi ini sebagai satu proses penanaman semula (replanting) untuk melahirkan benih-benih ahli yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi sehingga ke akhir zaman.

Kitalah yang mewarisi perjuangannya.

Kitalah yang mempusakai perjuangannya."

Antara Suara Benar dan Suara Ramai



Pekeliling Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) bertarikh 24 April 2009 mengenai pembubaran sepuluh cawangan yang mengingkari arahan MMK adalah satu tindakan yang wajar, berani dan bertanggungjawab dalam usaha menegakkan kebenaran dan menentang perbuatan yang mungkar.

Mengikut Akta Pertubuhan 1966, dengan pembubaran ini, cawangan-cawangan tersebut tidak lagi wujud dan tidak boleh menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan khususnya kelas-kelas latihan Silat Cekak Hanafi. Dari segi undang-undang, ahli-ahli di cawangan-cawangan ini telah hilang kelayakan sebagai ahli, baik bagi mereka yang membayar yuran setiap tahun mahupun yang membayar yuran ahli seumur hidup.

Melanggari arahan pembubaran ini boleh mengundang tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis kerana aktiviti-aktiviti tidak boleh lagi dijalankan kerana tidak sah dari segi undang-undang. Ia menjadi satu kegiatan yang haram kerana tidak dijalankan oleh sebuah persatuan yang berdaftar. Mengikut Akta Polis. perbuatan ini menjadi satu perbuatan jenayah jika ia diteruskan kerana berhimpun melebihi empat orang.

Dengan tindakan ini, berakhirlah satu episod yang pahit dalam perjuangan Silat Cekak Hanafi. Bagi ahli-ahli Silat Cekak Hanafi,
teruskanlah usaha untuk menabur bakti kepada masyarakat kerana kegiatan silat dan ilmu silat adalah sesuatu yang baik dan berfaedah untuk diri, keluarga dan masyarakat. Usah menoleh ke belakang lagi.

InsyaAllah usaha ini akan mendapat keberkatan selagi kita berada dijalan yang lurus lagi benar.

Episod ini banyak meninggalkan banyak pengajaran kepada kita sebagai ahli Silat Cekak Hanafi.

Yang pertama, kita harus meletakkan kepentingan pergerakan dan persatuan melebihi kepentingan mana-mana individu walaupun individu itu adalah presiden mahupun guru utama. Episod ini adalah kali kedua berlaku dalam sejarah dan perjuangan Silat Cekak Hanafi sejak Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, pemimpin agung kita kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986.

Yang kedua, kita melihat sekali lagi lahirnya ahli-ahli yang taksub kepada pemimpin (presiden/guru utama). Ia berlaku akibat perbuatan sipemimpin dan konco-konconya yang mahu menutup kesalahan diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Perbuatan ini telah memecahbelahkan persatuan sehingga menggugat perjuangan Silat Cekak Hanafi yang sebenar.

Yang ketiga, sebagai ahli kepada persatuan, kita harus mengetahui dan menjunjung perlembagaan persatuan dan mematuhi undang-undang tubuh persatuan kita. Kita tidak boleh melanggarnya. Kita harus mentadbir persatuan mengikut undang-undang tubuh tersebut. Perbuatan menipu ahli-ahli dari aspek perlembagaan persatuan adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Setiap peraturan dalam perlembagaan persatuan perlu diikuti sewaktu mentadbir persatuan. Kita tidak boleh mentadbir persatuan mengikut selera sendiri serta cara-cara yang melanggari peraturan-peraturan tersebut.

Yang keempat, sebagai ahli, kita harus mempertahankan persatuan dan perjuangan Silat Cekak Hanafi. Sebagai penjawat jawatan dalam persatuan dan sebagai tenaga pengajar, kita perlu memberikan maklumat-maklumat yang benar kepada ahli-ahli. Ini satu tanggungjawab yang besar terhadap kita sebagai pemimpin. Dalam episod yang berlaku ini, banyak maklumat tidak sampai ke pengetahuan ahli-ahli di seluruh negara sehingga ramai yang tertipu akibat perbuatan si pemimpin dan konco-konconya. Perbuatan inilah yang menyebabkan sepuluh cawangan tersebut mengingkari arahan-arahan MMK sejak bermulanya episod ini pada bulan Mac 2006.

Akhirnya dengan langkah-langkah yang tersusun mengikut perlembagaan dan beristiqamah terhadap segala ujian yang diberikan kepada perjuangan Silat Cekak Hanafi, akhirnya suara kebenaran ini telah berjaya mengatasi suara ramai yang mungkar.

Suara ramai tidak semestinya suara benar.

Yang benar tetap yang hak dan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah swt. sepertimana yang dijanjikan. Sesungguhnya Allah swt tidak pernah memungkiri janji.

Alhamdullilahirabbi’alamin.



www.cekakhanafi.com

PEMBUBARAN SEPULUH CAWANGAN




Perkeliling MMK

24 April 2009

Kepada semua ahli,

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia

Saudara/i,

Assalamu Alaikum wbt.

MAKLUMAN TENTANG KEDUDUKAN SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Perkara di atas dengan sukacitanya dirujuk.

•Saya dimaklumkan kononnya satu Mesyuarat Agung Luarbiasa telah diadakan pada 28 Mac 2009 dimana diberitakan juga satu pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) yang baru bagi sesi 2009/2012 diadakan.

3. Kesahihan Mesyuarat Agong Luarbiasa dan perlantikan MMK yang baru ini sesungguhnya tidak sah dan tidak terkesan berdasarkan penyataan berikut:

•Peraturan 7 Ceraian 25 Perlembagan Persatuan menyatakan bahawa notis Mesyuarat Agong Luarbiasa hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agong yang menjalankan tugas atas persetujuan Majlis Mesyuarat Kebangsaan. Walaubagaimanapun, dalam kes mesyuarat yang di adakan pada 28 Mac 2009 itu, saya sebagai Setiausaha Agong yang sah tidak pernah mengeluarkan notis memanggil Mesyuarat Agong Luarbiasa tersebut. Majlis Mesyuarat Kebangsaan juga tidak pernah bersetuju untuk mengadakan atau menerima apa-apa notis mengadakan Mesyuarat Agong Luarbiasa. Oleh itu Mesyuarat Agong Luarbiasa yang dikatakan diadakan pada 28 Mac 2009 itu tidak membawa apa-apa implikasi kepada persatuan kerana dilakukan tidak mengikut prosedur dan peruntukan Perlembagaan Persatuan.

•Pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) hanya boleh dilakukan pada Mesyuarat Agong Perwakilan seperti yang diperuntukan pada Peraturan 7 Ceraian 18(c) Perlembagaan Persatuan. TIDAK ADA peruntukan di dalam Perlembagaan Persatuan yang menyatakan bahawa pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) boleh dilakukan pada Mesyuarat Agong Luarbiasa . Oleh itu, tindakan memilihan MMK baru yang dilakukan pada 28 Mac 2009 adalah tidak terpakai dan terbatal dengan sendirinya.

•En Md Radzi Hj Hanafi atau sesiapapun wakil beliau tidak berkuasa untuk memanggil Mesyuarat Agong Luarbiasa kerana beliau bukan lagi menjawat jawatan Presiden. Malah keahlian beliau juga telah digugurkan sejak 25 Mac 2007 . Jika pun Encik Md Radzi Hj Hanafi masih mengaku beliau sebagai Presiden berdasarkan semakan beliau di Pejabat Pendaftar Pertubuhan yang masih mencatitkan beliau sebagai Presiden, tetapi siasatan lanjut mendapati bahawa rekod di Pejabat Pendaftar Pertubuhan telah tidak dikemaskini apabila tidak memasukan rekod baru berdasarkan surat persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan bertarikh 18 September 2008. Surat tersebut telah memaklumkan tentang pemecatan keahlian En. Md Radzi Hj Hanafi dan Jawatan Presiden telah dipangku oleh Naib Presiden iaitu Tn Hj Md Nasir Md Arshad.

4. Satu laporan polis telah dibuat terhadap En Mohamad Amin Zainul Abidin kerana melakukan tindakan menipu dan mengelirukan ahli persatuan serta orang ramai. Ini kerana beliau dengan secara terang-terangan mengaku sebagai Setiausaha Agong di dalam surat yang dihantar kepada beberapa individu tertentu menggunakan kepala surat persatuan walaupun diketahui bahawa beliau bukanlah Setiausaha Agong persatuan yang sah dan tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Selanjutnya juga dimaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kebangsaan telah memecat keahlian En Mohd Amin Zainul Abidin berkuatkuasa 22 Januari 2009 . Oleh itu, bermula dari tarikh tersebut, beliau sudah tidak ada kena-mengena dengan persatuan ini.

5. Adalah dimaklumkan juga, berkuatkuasa 24 April 2009 , MMK telah membubarkan 10 cawangan negeri kerana mengingkari arahan MMK. Pembubaran ini dibuat berdasarkan peruntukan Peraturan 14 Ceraian 2(b) Perlembagaan Persatuan. Cawangan-cawangan yang dibubarkan itu adalah seperti senarai berikut:

-Cawangan Perlis

-Cawangan Kedah

-Cawangan Pulau Pinang

-Cawangan Negeri Sembilan

-Cawangan Melaka

-Cawangan Johor

-Cawangan Pahang

-Cawangan Kelantan

-Cawangan Sabah

-Cawangan Sarawak

6. Suka saya tegaskan di sini bahawa persatuan ini dan kedudukan MMK adalah tidak terkesan oleh percubaan untuk menggugat keharmonian dan keutuhan persatuan. Semua aktiviti persatuan tidak terganggu dan tetap berjalan seperti biasa. Ahli-ahli juga dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan perjelasan lanjut.



Sekian, wassalam.



RAMLEE ABDUL RAHMAN

Setiausaha Agong





www.cekakhanafi.com

SELAMAT DATANG

ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ

Selamat datang ke laman web rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia
(Silat Cekak Hanafi).

Laman web berbentuk interaktif ini membolehkan ahli-ahli Silat Cekak Hanafi dan para pelayar berkomunikasi secara on-line di antara satu sama lain untuk meningkatkan ukhwah dikalangan kita semua.

Disamping itu pula, persatuan termasuk cawangan-cawangan serta kelas-kelas di seluruh negara dapat menyalurkan maklumat dan aktiviti secara cepat dan berkesan pada bila-bila masa. Ini dapat menyokong usaha-usaha persatuan untuk merealisasikan wawasannya.

Jika terdapat sebarang permasalahan dengan laman web ini, sila hubungi kami di
Email Pejabat Urusetia .

Kami menggalakkan ahli dan tetamu yang lain menyumbang artikel-artikel ke laman web ini dengan menggunakan ruangan Kirim Berita untuk mengirim penulisan anda.



Wassallam,

Cekakhanafi Web Team
11 Julai 2008

Konsep Silat Cekak hanafi




* Pergerakan Silat Cekak adalah berdasarkan pergerakkan normal manusia dan tidak mengambil ilham dari pergerakkan haiwan, tumbuh – tumbuhan atau apa – apa kejadian alam. Malah, Silat Cekak mempunyai kaedah – kaedah mempertahankan diri dan menyerang yang diilhamkan dari pergerakan sembahyang.

* Silat Cekak tidak mempunyai tari silat atau apa yang lebih dikenali sebagai bunga di dalam kaedah persilatannya. Pergerakannya menjurus kepada teknik – teknik persilatan atau buah – buah silat.



Berdiri Semulajadi

Konsep berdiri lurus secara semulajadi dalam Silat Cekak menjadikan silat ini amat praktikal.

* Silat Cekak tidak mengelak ke kiri, ke kanan atau pun mengundur walaupun setapak malah ia mara kehadapan bila menangkis serangan.

* Silat Cekak menanti serangan dalam keadaan berdiri lurus dan tidak berkuda – kuda atau langkah melangkah apabila menanti serangan.

* Silat Cekak menekankan mempertahankan diri dan hanya menyerang apabila terdesak. Namun, apabila ia menyerang, musuh mengelak, serangan itu akan tetap kena dan jikalau serangan itu ditepis, pasti tepisan tersebut dapat ditewaskannya (elak kena, tepis makan). Tambahan pula, serangan Silat Cekak juga boleh menangkap ketika menyerang (Cekak menyerang, Cekak menangkap) yang cukup efektif terhadap gerakan – gerakan makan gerak.
* Dalam Silat Cekak tidak ada system dua senjata, yakni tatkala musuh bersenjata, Silat Cekak akan berlawan dengan tangan kosong. Tujuan Silat Cekak adalah untuk menewaskan musuh dengan merampas senjata musuh (senjata makan tuan).

* Silat Cekak tidak mempunyai teknik menyepak yang melebihi paras pinggang. Akan tetapi ia mempunyai teknik – teknik untuk berlawan dengan tangan pengamalnya diikat ke belakang.

* Silat Cekak menekankan kaedah menurut pergerakan lawan dan bukan membangkang. Oleh itu ia dapat menumpang kekuatan lawan dan menggunakan kekuatan tersebut untuk menewaskannya.

Peringkat Pembelajaran



Kaedah D - Salah satu Kaedah menangkis serangan dari hadapan.


* Buah Asas - Kaedah-kaedah asas menangkis serangan dari hadapan.
* Buah Jatuh - Lanjutan dari buah asas, iaitu menangkis serangan dan menjatuhkan lawan.
* Buah Potong - Digunakan untuk menangkis semula buah-buah di dalam Silat Cekak.
* Buah Serang - Satu-satunya buah dan peringkat di dalam Silat Cekak yang melibatkan pengamal Silat Cekak menyerang. Namun jika dielak pasti kena, jika ditepis kita akan menangkap dan menjatuhkan lawan. Ia juga boleh menyerang sambil menangkap(cekak menyerang, cekak menangkap).
* Buah Umum - Mempelajari keseluruhan teknik pertahanan dan serangan untuk digunakan secara praktikal.

Senarai Nama Buah

Berikut adalah senarai buah - buah Silat Cekak, sebanyak 21 buah.

* Buah Pertama
* Keputusan Gayong Petani
* Keputusan Sendeng Atas
* Buah Kilas Belakang
* Buah Kilas Hadapan
* Buah Kidong Kiri
* Buah Kuntau Jatuh
* Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
* Buah Kuntau Kanan Gantung
* Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)
* Buah Ali Patah Atas
* Buah Ali Patah Sudah
* Buah Selendang
* Buah Gari & Gari Gunting
* Buah Paras
* Keputusan Pasung Kemanga
* Keputusan Terlak
* Keputusan Lintau
* Buah Hempok
* Buah Luncur
* Buah Siku Potong




buah Keputusan Terlak















Ciri-ciri Pembelajaran dalam Peringkat Persilatan

Silat Cekak diajar secara berpekej dan berkumpulan dan selalunya memerlukan diantara 6 – 8 bulan untuk tamat dengan kelas sebanyak 2 kali seminggu.


Pembelajaran selalunya dimulakan dengan pertemuan di antara Guru Utama Silat Cekak di dalam upacara ijazah pertama. Dalam pertemuan tersebut, Guru Utama Silat Cekak akan memberi izin kepada bakal penuntut untuk mempelajari Silat Cekak dan penunut tersebut dikehendaki berjanji untuk menurut segala pantang larang dalam silat tersebut. Hanya selepas proses pengijazahan ini berlaku barulah penuntut tersebut dikenali sebagai ahli Seni Silat Cekak dan boleh menerima matapelajarannya.

Terdapat beberapa peringkat pembelajaran dalam Silat Cekak.

Peringkat permulaan adalah peringkat asas. Pada peringkat asas ini para penuntut akan diajar 4 kaedah asas dan juga buah – buah asas Silat Cekak sebanyak 20 buah kesemuanya. Jangkamasa pembelajaran selalunya mengambil masa selama sebulan hingga dua bulan.

Peringkat seterusnya adalah peringkat buah jatuh yakni peringkat dimana para penuntut akan diajar cara – cara untuk menghabiskan buah asas dan juga pecahan – pecahannya. Jangkamasa pembelajaran adalah lebih kurang sebulan hingga sebulan setengah.

Selepas selesai mempelajari peringat buah jatuh, para pesilat akan masuk ke peringkat potong.

Sebelum penuntut dibenarkan untuk mengikuti matapelajaran peringkat potong, mereka dikehendaki untuk sekali lagi melalui proses pengijazahan bersama Guru Utama.

Peringkat potong adalah peringkat dimana para penuntut akan diajar cara untuk memotong buah – buah yang telah dipelajari pada peringkat jatuh. Pada peringkat ini juga, para pelajar akan diajar 2 mata pelajaran untuk menangkis serangan pisau. Jangkamasa pembelajaran dalam peringkat potong adalah lebih kurang 2 bulan.

Setelah selesai memperlajari buah – buah potong, para penunutut akan sekali lagi diijazahkan oleh Guru Utama bagi menandakan penuntut itu telah memasuki peringkat tamat.

Pada peringkat tamat, para penuntut akan diajar teknik 6 tolak 6 yakni satu teknik di mana sekiranya terjadi pergaduhan di antara 2 penuntut Silat Cekak, kedua-dua ahli ini tidak dapat mengalahkan diantara satu sama lain menjadikan keputusannya seri. Teknik ini menjadi bukti secara praktikal sumpah ke empat dalam Silat Cekak dimana ahli sesame ahli tidak boleh bergaduh.

Di peringkat ini juga para penunut akan diajar cara – cara untuk menyerang dan juga aplikasinya.
Pada peringkat tamat ini juga para penuntut akan diajar cara-cara untuk menangkis serangan-serangan dari seni beladiri yang lain dan juga serangan-serangan bersenjata.

Dalam semua peringkat persilatan, para penuntut akan berlatih secara berpasangan. Para tenaga pengajar akan samada menunjukkan kepada atau membuat sendiri ke atas para penuntut matapelajaran yang ingin di ajar supaya mereka belajar dalam satu sistem yang analitikal.



Senjata Rasmi - Parang Lading




Seperti silat – silat lain, senjata rasmi bagi Silat Cekak adalah Parang Lading yang kebiasaannya tidak dijumpai di mana – mana tempat lain kecuali di negeri Kedah Darulaman.

Parang ini digunakan secara meluas oleh para penduduk terutamanya para petani di negeri tersebut untuk melakukan kerja – kerja harian. Oleh kerana kaitan Parang Lading ini dengan penduduk Kedah amat kuat, penggunaan Parang Lading didalam silat ini secara tidak langsung menjadi bukti bahawa silat ini berasal dari negeri Kedah.

Ada kisah yang mengatakan bahawa pada suatu masa dahulu, Parang Lading telah digunakan sebagai anugerah kepada panglima kerajaan negeri Kedah. Parang Lading tersebut dikenali sebagai Parang Lading berambu.

Sebagi suatu senjata, sudah tentu rupabentuk Parang Lading yang digunakan oleh Silat Cekak mempunyai perbezaan yang ketara berbanding Parang Lading biasa. Antaranya adalah Parang Lading yang ada dalam silat ini mempunyai ukuran tertentu yang membolehkan ianya sesuai dengan si pemakainya. Ukurannya adalah seperti berikut:

Parang Lading

* Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari telinga kanan ke mata kiri sipemakai.

Falsafahnya: Apa yang terlihat dan terdengar pasti kena.

* Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai.

* Lebar di sebelah hujung parang adalah sama dengan panjang ibu jari pemakai

* Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai.

* Hulu parang ini mengambil bentuk tapak rusa dan diperbuat dari tanduk kerbau betina.

Lentik Parang Lading dalam Silat Cekak juga juga berbeza dengan mengambil lentik Pelpah Kelapa berbanding lentik Pelepah Pisang yang biasa dijumpai.

Pengamal Silat Cekak menggunakan Parang Lading semata – mata untuk mempertahankan diri dari serangan pelbagai senjata kecuali senjata api. Ia diletakkan dalam keadaan matanya tersorok dibelakang tangan pengamal atau pun tersorok di dalam lengan baju seperti diamalkan oleh panglima – panglima Silat Cekak suatu masa dahulu. Teknik penggunaan Parang Lading ini tidak jauh bezanya dengan kaedah – kaedah Silat Cekak yang sedia ada. Ia berfungsi lebih kepada merosakkan “prasarana” musuh daripada membunuhnya dengan serta - merta.

Sungguhpun demikian, Parang Lading ini hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.

Pada kebiasaannya apabila seseorang itu dianugerahkan senjata ini, ukuran penerima parang itu akan diambil sendiri oleh Guru Utama dan beliau sendiri akan menempahnya bagi memastikan cara pembuatan senjata tersebut adalah menurut spesifikasi dan kualiti yang dikehendaki. Bagi mereka yang arif dalam bidang pembuatan senjata akan memahami bahawa proses pembuatan senjata Parang Lading seperti yang dikehendaki oleh Silat Cekak ini adalah amat rumit dan mengambil masa yang lama. Adalah menjadi satu kepelikan jika mendengar seseorang itu boleh membuat Parang Lading yang benar – benar sesuai dengan hanya mengetahui ukuran.





Wali Jantan



Wali Jantan merupakan satu lagi senjata yang digunakan dalam Silat Cekak selain Parang Lading.

Seperti juga Parang Lading, Wali Jantan beasal dari bumi Kedah Darulaman. Boleh dikatakan tiada negari lain yang mempunyai senjata seperti ini.

Penggunaan Wali Jantan adalah berbeza dengan Parang Lading. Parang Lading digunakan khusus untuk mempertahankan diri manakala Wali Jantan pula boleh digunakan untuk menyerang dan juga bertahan.

Antara kelebihan Wali Jantan ialah penggunanya dapat menyerang tepat sasaran walaupun di dalam keadaan yang gelap gelita. Selain itu matanya juga cukup berbisa.

Mata wali jantan berbeza dengan mata pisau, iaitu mata tajamnya menghala ke atas dan muncungnya tirus dan tidak mempunyai bentuk seperti mata pisau biasa (labu pisau).

Wali Jantan dibuat dengan menggunakan petua – petua tertentu bagi memastikan ianya beberapa kelebihan yang memanfaakan penggunanya. Antaranya, ia dibuat berdasarkan ukuran tertentu penggunanya bagi memastikan keadaan dimana Wali Jantan itu digunakan untuk menikam penggunanya (senjata makan tuan). Selain daripada itu, terdapat juga bahan – bahan tertentu yang diletakkan kedalam Wali Jantan bagi menambah bisa (rahsia). Pembuatan Wali Jantan juga perlu diakhiri pada hari yang sama ianya dimulakan. Misalnya, jikalau Wali Jantan tersebut dibuat bermula pada hari selasa, maka ia juga perlu diakhiri pada hari selasa juga.

Dari segi penggunaan, Wali Jantan akan dikeluarkan sekali bersama sarungnya apabila penggunnya bersiap sedia untuk bertarung. Apabila pertarungan sebenar berlaku, pengguna Wali Jantan akan menjentik sarungnya keluar sejurus sebelum mula bertikam.

Wali Jantan adalah merupakan salah satu anugerah Guru Utama kepada anak – anak muridnya. Tidak semua pengamal Silat Cekak mendapat senjata ini secara otomatik. Selalunya mereka yang mendapat senjata ini adalah mereka yang telah terlibat lebih 10 tahun dalam perjuangan Silat Cekak.

Falsafah Persilatan

"Pakai, tak pakai; tak pakai, pakai"



Jangkamasa Kursus

Para penuntut silat cekak boleh mempelajari Silat Cekak sehingga Tamat dalam pakej secepat 7 bulan, bergantung kepada kesesuaian pusat latihan, sekolah dan pusat pengajian tinggi. Pakej khas juga boleh diatur berdasarkan permintaan.


asal usul
silat cekak dikatakan berasal daripada negeri kedah darul aman